Filem Snow in Midsummer, arahan pembikin filem Malaysia Chong Keat Aun, akan mula ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh Malaysia pada pertengahan bulan Julai.
Peristiwa 13 Mei dan tanah perkuburan mangsa merupakan antara elemen cerita serta latar tempat yang dipaparkan dalam filem ini. Oleh itu, PESAWA (Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor) berasa bertanggungjawab untuk menyokong filem ini dengan menganjurkan satu tayangan khas. Tayangan tersebut akan diadakan pada 19 Julai 2025 (Ahad), jam 8.00 malam di Dadi Cinema Pavilion KL.
Penyumbang yang menaja sebanyak RM1,000 akan menerima dua tiket VIP, manakala tiket biasa berharga RM100 setiap satu, dengan tempat duduk ditentukan mengikut nombor tiket.
PESAWA berharap pada masa hadapan, perbincangan dan aktiviti yang berkaitan dengan Peristiwa 13 Mei tidak lagi dianggap sebagai isu sensitif atau tabu yang dikawal ketat di Malaysia. Tayangan filem ini diharap menjadi satu langkah penting ke arah suasana yang lebih terbuka untuk meneroka sejarah 13 Mei, sekali gus membolehkan masyarakat memahami Peristiwa tersebut dari pelbagai sudut pandangan dengan lebih mendalam.
Sejak sekian lama, PESAWA secara konsisten menganjurkan majlis peringatan awam dan ceramah berkaitan Peristiwa 13 Mei setiap tahun. Tujuannya adalah untuk memupuk perdamaian, persefahaman dan sikap saling memaafkan. Dengan menukar memori sejarah yang menyakitkan kepada renungan yang lebih bermakna, PESAWA berharap pihak berkuasa akan secara beransur-ansur mendeklasifikasikan bahan sejarah berkaitan agar masyarakat tidak lagi berasa takut untuk membincangkan Peristiwa 13 Mei. Hanya dengan menghadapi sejarah pahit ini secara terbuka, luka lama dapat diakui dan disembuhkan, serta isu sejarah yang dahulunya sensitif dapat difahami dengan lebih baik tanpa menjadi penghalang kepada keharmonian antara kaum.
Snow in Midsummer diterbitkan secara bersama oleh syarikat Malaysia Sunstrong Entertainment bersama empat rakan penerbit dari Malaysia, Singapura dan Taiwan. Filem ini telah mengadakan tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Venice ke-80, di mana ia menerima Pengiktirafan Khas Seni Filem, dan turut dipilih sebagai filem pembukaan Anugerah Golden Horse ke-60, selain memperoleh sembilan pencalonan. Kebanyakan tenaga produksi yang terlibat dalam filem ini adalah rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, filem ini wajar kita semua tonton.
Semasa tayangan khas PESAWA ini, pengarah Chong Keat Aun bersama pelakon Wan Fang dan Pearlly Chua juga akan hadir untuk berinteraksi dengan penonton, berkongsi pengalaman serta sesi bergambar.
Sesiapa yang berminat untuk menaja atau membeli tiket boleh menghubungi:
Tan Choong Cheng: 019-3885309
Tang Ah Chai: 012-2269373
Law Jing: 011-11434178
Goh You Peng: 012-2033599


