Latar Belakang
Pada 13 Mei 1969, Malaysia digemparkan oleh keganasan perkauman yang serius. Lebih daripada seratus orang terkorban telah dikebumikan berhampiran Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh, sekali gus membentuk apa yang kini dikenali sebagai Memorial 13 Mei Sungai Buloh. Memorial ini merupakan tapak sejarah penting Peristiwa 13 Mei, yang menanggung memori perit dalam sejarah negara.
Pada tahun 2017, Memorial ini berdepan ancaman perobohan dan pembangunan semula sebagai kawasan tempat letak kereta. Para sejarawan dan pejuang warisan sejarah segera campur tangan serta berunding dengan pihak berkuasa tempatan, dan berjaya mempertahankan tapak bersejarah yang penting ini. Susulan itu, Jawatankuasa Pemeliharaan Memorial 13 Mei telah ditubuhkan dan sejak itu aktif menganjurkan majlis peringatan, lawatan serta aktiviti pendidikan awam bagi memupuk kefahaman dan renungan masyarakat terhadap Peristiwa 13 Mei.
Pada tahun 2020, Jawatankuasa tersebut didaftarkan secara rasmi sebagai Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (PESAWA). Persatuan ini kemudiannya mengambil pendekatan yang lebih sistematik dalam usaha memelihara Memorial 13 Mei, di samping memperjuangkan hak mangsa dan keluarga mereka serta mengangkat isu keadilan peralihan, termasuk usaha mendesak deklasifikasi arkib rasmi.
Terletak di belakang masjid Hospital Sungai Buloh, Memorial 13 Mei Sungai Buloh meliputi kawasan seluas kira-kira 3,000 kaki persegi dan menempatkan lebih seratus buah kubur yang merangkumi pelbagai kaum. Ia merupakan satu kesaksian sejarah rentas etnik yang mengingatkan masyarakat agar berani berdepan dengan trauma dan berusaha mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.
Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Selangor secara rasmi mewartakan Memorial ini sebagai tanah perkuburan bukan Islam dan menyerahkan pengurusannya kepada PESAWA. Inisiatif ini membina asas institusi yang penting bagi usaha memperingati Peristiwa 13 Mei serta memperjuangkan keadilan peralihan. PESAWA akan terus memelihara ingatan sejarah, mendedahkan kebenaran, serta menyediakan ruang awam untuk peringatan, renungan dan dialog masyarakat.

